Soalan Lazim | Bahagian Undang-undang Keluarga Islam

Soalan Lazim | Bahagian Undang-undang Keluarga Islam

S1:         Bagaimanakah saya dan pasangan ingin mendapatkan khidmat runding cara kerana menghadapi masalah rumahtanga? Adakah saya perlu membuat bayaran untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut ?

J1 :         Tuan/puan perlu hadir ke Pejabat Agama Daerah yang berhampiran dengan tempat tinggal tuan/puan dan perlu mengisi Borang Permohonan Runding Cara.  Tuan/puan juga boleh membuat aduan berkaitan rumahtangga secara atas talian (online) melalui emel : rundingcarakedah@gmail.com.

Perkhidmatan runding cara di Pejabat Agama Islam Daerah seluruh negeri Kedah adalah percuma dan berbentuk sukarela. Pelanggan yang hadir tidak akan dikenakan bayaran untuk perkhidmatan yang diberikan.

 

S2 :        Saya ingin berkongsi masalah tentang perangai suami. Suami saya selama ini telah menjalankan tanggungjawab yang baik kepada saya dan anak-anak. Namun, sejak 5 tahun yang lepas, suami saya terjebak dengan gejala penagihan dadah. Di dalam rumah kami, ada satu bilik khas untuk suami menjalankan aktiviti penagihan dadah apabila beliau ketagih.  Saya risaukan keselamatan anak-anak apabila saya pergi kerja. Apakah tindakan yang terbaik perlu diambil memandangkan saya masih sayangkan suami saya?

J2 :         Puan perlu hadir ke Pejabat Agama Daerah yang berhampiran dengan tempat tinggal puan dan perlu mengisi Borang Permohonan Runding Cara. Puan juga boleh membuat aduan berkaitan rumahtangga secara atas talian (online) melalui emel : rundingcarakedah@gmail.com.

Selain itu, pentadbiran ini menasihatkan puan pergi ke Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) berhampiran tempat tinggal puan untuk mendapatkan pandangan selanjutnya.

 

S3 :        Saya dan suami menjalani kehidupan berumahtangga secara jarak jauh. Kami mempunyai seorang anak perempuan. Namun, sepanjang tempoh 3 tahun perkahwinan kami, suami sudah banyak kali pukul serta naik tangan ke muka saya. Saya sangat sedih. Apakah tindakan yang perlu diambil?

J3 :         Puan perlu hadir ke Pejabat Agama Daerah yang berhampiran dengan tempat tinggal puan dan perlu mengisi Borang Permohonan Runding Cara. Puan juga boleh membuat aduan berkaitan rumahtangga secara atas talian (online) melalui emel : rundingcarakedah@gmail.com.

Selain itu, pentadbiran ini menasihatkan puan agar pergi ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan dan ke hospital untuk membuat pemeriksaan jika perkara tersebut masih berulang. Salinan laporan perubatan (medical report) dan salinan laporan polis (police report) hendaklah disimpan sebagai dokumen tambahan sekiranya kes ini dibicarakan di mahkamah.

S4 :        Isteri saya sudah sebulan keluar meninggalkan saya dan anak-anak kerana pulang ke rumah keluarganya di Pulau Pinang. Saya juga sudah banyak kali saya menghubungi isteri saya melalui telefon dan “whatsapp” , tetapi tidak berjawab. Kami mempunyai 2 orang anak yang kini tinggal bersama saya di Alor Setar, Kedah. Apakah tindakan yang perlu saya buat?             

J4 :         Tuan perlu hadir ke Pejabat Agama Daerah yang berhampiran dengan tempat tinggal tuan dan perlu mengisi Borang Permohonan Runding Cara. Tuan juga boleh membuat aduan berkaitan rumahtangga secara atas talian (online) melalui emel : rundingcarakedah@gmail.com.

Tuan juga perlu memaklumkan semula kepada pihak pentadbiran ini, sekiranya telah berjaya menghubungi isteri tuan atau sebaliknya agar pihak kami dapat membuat tindakan selanjutnya.

Selain itu, pihak pentadbiran  ini menasihatkan tuan berurusan dengan Mahkamah Syariah untuk membuat permohonan isteri kembali taat (jika isteri masih tidak mahu pulang ke Alor Setar, Kedah).

 

S5 :        Saya telah mendapat perintah Mahkamah Syariah pada 30 Jun 2020 yang lalu tentang nafkah di mana bekas suami perlu memberikan nafkah kepada anak-anak saya pada setiap bulan. Namun sehingga kini, suami tidak langsung memberi nafkah dan perbelanjaan seperti di dalam perintah mahkamah. Bolehkah jabatan agama membantu saya dalam situasi sekarang. Saya tetap akan menuntut hak anak-anak saya walaupun saya ini bekerjaya.

J5 :         Pihak pentadbiran ini mencadangkan puan berurusan semula dengan pihak Mahkamah Syariah yang mengeluarkan perintah tersebut kerana perkara ini di luar bidang kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah.