Soalan Lazim | Bahagian Pengurusan Halal

Soalan Lazim | Bahagian Pengurusan Halal

KEPERLUAN UMUM PENSIJILAN HALAL MALAYSIA 

Soalan:-

Apakah keperluan umum pensijilan halal Malaysia?

 

Jawapan:-

Keperluan umum Pensijilan Halal Malaysia adalah seperti berikut :-

1. Memastikan sumber bahan mentah/ramuan adalah halal & selamat iaitu diambil dari pembekal yang mempunyai sijil halal yang sah. Selain itu, pemohon hendaklah melampirkan spesifikasi yang lengkap (mengandungi komposisi bahan, carta alir & sumber bahan mentah termasuklah processing aid yang digunakan).

2. Produk hendaklah dihasilkan secara konsisten, menepati keperluan Hukum Syarak & Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP).

3. Label pembungkusan hendaklah mengandungi maklumat-maklumat mengikut peraturan, akta dan standard berkaitan. Ia dicetak dengan terang, jelas & tidak mudah dipadamkan. Pelabelan juga perlu tidak melanggar prinsip-prinsip Hukum Syarak.

4. Kawasan kilang hendaklah berpagar, peralatan bebas dari najis & tidak memberi kesan sampingan terhadap produk yang dikeluarkan. Peralatan/berus bulu daripada haiwan adalah tidak dibenarkan. Makanan/minuman yang tidak halal tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam premis.

5. Mempunyai sekurang-kurangnya 2 orang pekerja muslim warganegara Malaysia dan hendaklah mengamalkan Amalan Kebersihan Yang Baik (GHP), berpakaian sopan & bersesuaian.

6. Sistem sanitasi yang melibatkan persekitaran, peralatan, kawalan makhluk perosak & jadual pembersihan hendaklah diamalkan.

7. Pemohon hendaklah menyediakan rekod halal yang boleh dirujuk sewaktu pemeriksaan dilakukan.

8. Menyediakan kemudahan & kebajikan pekerja termasuk ruang solat yang bersesuaian, kebenaran menunaikan solat fardhu & solat Jumaat, bilik persalinan & ruang makan.

9. Memastikan setiap pekerja menerima latihan halal.

10. Memastikan penyeliaan & pemantauan Sistem Jaminan Halal direkod dengan baik.

11. Alat & unsur penyembahan tidak dibenarkan berada di kawasan pemprosesan.

12. Permohonan pengilangan kontrak hendaklah mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Jom mohon sijil halal dan ketahui prosedur pensijilan halal Malaysia di www.halal.gov.my

 

SYARAT-SYARAT PENSIJILAN HALAL MALAYSIA

Soalan:-

Apakah syarat-syarat pensijilan halal Malaysia?

Jawapan:-

Syarat-syarat Pensijilan Halal Malaysia ialah pemohon atau pengilang hendaklah:-

1. Berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM/Suruhanjaya Koperasi Malaysia/ lain-lain agensi kerajaan.
2. Mempunyai lesen perniagaan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) / surat akuan dari agensi kerajaan.
3. Beroperasi sepenuhnya terlebih dahulu sebelum permohonan dibuat.
4. Mengeluar dan/atau mengendalikan produk halal sahaja.
5. Memastikan sumber bahan ramuan adalah halal dan memilih pembekal yang membekalkan bahan-bahan halal atau mempunyai sijil pengesahan halal yang diiktiraf.
6. Memohon semua jenis produk/menu yang dikeluarkan di kilang/premis berkenaan.
7. Permohonan bagi pembungkusan semula (repacking) hendaklah mengemukakan sijil halal yang diiktiraf bagi produk tersebut.

Jom mohon sijil halal dan ketahui prosedur pensijilan halal Malaysia di www.halal.gov.my

 

ADAKAH PERMOHONAN PENSIJILAN HALAL WAJIB?

Permohonan pensijilan halal di Malaysia adalah sukarela dan tidak diwajibkan

 

BAGAIMANAKAH PROSES PERMOHONAN SIJIL PENGESAHAN HALAL (SPH) DIBUAT? 

1. Semua permohonan pensijilan halal adalah menggunakan borang yang perlu diisi secara on-line melalui sistem e-halal yang dibangunkan oleh JAKIM di laman web sesawang : http://www.halal.gov.my.

Kategori permohonan yang layak adalah seperti berikut:

Pengeluar / pengilang produk (manufacturer / producer)
Pengeluar sub-kontrak (sub-contract manufacturer)
Pengusaha pembungkusan semula (repacking)
Premis makanan (food premise).
Premis sembelihan (abattoir / slaughter house)
Farmaseutikal
Logistik (pengangkutan, pergudangan)

2.  Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) / Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) akan menguruskan proses pengesahan permohonan bagi kilang / premis makanan di negeri masing-masing melalui sistem berkenaan sehingga selesai.

Borang permohonan hendaklah lengkap diisi dengan mengemukakan butiran-butiran seperti yang dikehendaki di dalam borang dengan menyertakan salinan dokumen sokongan yang berkaitan mengikut kategori seperti berikut :

Produk makanan
Premis makanan (hotel / restoran)
Barang gunaan
Kosmetik dan dandanan diri
Premis sembelihan
Farmaseutikal
Logistik

3. Salinan borang permohonan on-line hendaklah dihantar bersama-sama dokumen sokongan permohonan untuk disemak oleh pegawai JHEAIK dalam tempoh 5 hari bekerja.

4. Jika perlu, pemohon perlu melengkapkan dokumen sokongan tambahan yang diminta dalam tempoh masa yang ditetapkan.

5. Surat arahan pembayaran fi pensijilan halal akan dikeluarkan sekiranya permohonan yang dihantar lengkap dan sempurna. Bagi permohonan yang tidak lengkap, surat bayaran tidak akan dikeluarkan dan permohonan ditolak secara automatik.

6. Proses audit akan dilaksanakan oleh pegawai auditor JHEAIK selepas bayaran fi dijelaskan oleh pemohon.

7. Setelah melalui proses audit yang sempurna, permohonan tersebut akan dibawa ke dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengesahan Halal Negeri Kedah untuk dibincangkan.

8. Jika Mesyuarat bersetuju dengan kelulusan permohonan tersebut, sijil akan dikeluarkan oleh JAKIM.