Soalan Lazim | Bahagian Penguatkuasaan

Soalan Lazim | Bahagian Penguatkuasaan

Soalan 1 :
Siapakah yang boleh memberi maklumat kepada pihak Penguatkuasa Agama?

Jawapan 1 :
Semua orang yang mengetahui perlakuan (perbuatan) atau niat sama ada kesalahan jenayah syariah sudah dilakukan atau akan dilakukan boleh memberikan maklumat kepada Pegawai Penguatkuasa Agama pada bila-bila masa dengan kadar segera.

Soalan 2 :
Bagaimanakah aduan boleh dilakukan?

Jawapan 2 :
Aduan boleh dilakukan sama ada secara bertulis atau secara lisan iaitu:-

i. Pengadu hadir sendiri ke Bahagian Penguatkuasaan JAIK/Pejabat Agama Daerah dan mengisi Borang 5;
ii. Pengadu boleh membuat aduan menerusi telefon (047307373 – 9 mlm-6 pagi), surat, email, faksimili, laporan polis atau seumpamanya di mana aduan tersebut akan di ubah dalam bentuk tulisan dalam Borang 5 dengan mencatatkan nama pengadu, tarikh dan masa aduan tersebut di terima aduan dari pengadu akan dikepeilkan bersama Borang 5 yang ditandatangani oleh PPA sebagai pemberi maklumat dan seorang PPA lain sebagai penerima maklumat.

Soalan 3 :

Adakah maklumat pengadu akan didedahkan kepada umum?

Jawapan 3 : 

Maklumat pengadu dikategorikan sebagai sulit, ia tidak boleh didedahkan dan tidak akan diberitahu kepada umum sama ada secara langsung atau tidak langsung.  Maklumat pengadu hanya diketahui oleh orang-orang yang perlu mengetahui kandungannya dalam masa menjalankan tugas-tugas rasmi mereka.

Soalan 4 :

Apakah kesalahan Jenayah Syariah?

Jawapan 4 : 

Kesalahan Jenayah Syariah ertinya kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana individu yang bertentangan dengan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 & Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah Darul Aman) 2008.

Soalan 5 :

Apakah bentuk atau jenis kesalahan yang boleh diambil tindakan oleh Pegawai Penguatkuasa Agama?

Jawapan 5 : 

Bentuk atau jenis kesalahan yang boleh diambil tindakan oleh Pegawai Penguatkuasa Agama adalah kesalahan berhubung dengan akidah, kesucian agama Islam dan institusinya, kesusilaan, penyubahatan dan percubaan, kesalahan pelbagai sebagaimana yang diklasifikasikan di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014 & Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah Darul Aman) 2008.

Soalan 6 :

Sejauh manakah pihak Penguatkuasa Agama dapat menguatkuasakan undang-undang sekiranya kesalahan berlaku di negeri lain?

Jawapan 6 : 

Pegawai Penguatkuasa Agama tidak mempunyai bidangkuasa untuk menguatkuasakan undang-undang di luar Negeri Kedah Darul Aman kerana bidangkuasa undang-undang Islam terletak di bawah bidangkuasa negeri atau Sultan.